Untuk memudahkan lagi urusan semakan bagi wang tak dituntut, pihak Jabatan Akauntan Negara (JANM) mengambil inisiatif membangunkan satu portal yang diberi nama portal eGUMIS, dimana ia membolehkan orang awam membuat semakan secara atas talian.
Jumlah yang Tidak Dituntut
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian bertarikh April 2023, jumlah wang yang tidak dituntut dari Jabatan Akauntan Negara mencecah RM11 bilion sehingga hujung Mac 2023.
Oleh itu, dengan tersedianya portal eGumis tersebut, diharapkan orang ramai dapat menyemak wang tidak dituntut dengan lebih mudah lagi iaitu secara dalam talian.
Apa yang Dimaksudkan dengan Wang Tak Dituntut?
Wang tidak dituntut boleh merujuk kepada;
- Wang yang sepatutnya dibayar dari segi undang-undang kepada seseorang individu (tetapi tidak dibayar) dalam suatu tempoh masa tidak kurang dari setahun. Contohnya, upah, gaji, bonus, simpanan tetap yang sudah matang, dividen dan lain-lain.
- Wang dalam bentuk kredit suatu akaun yang telah tidak diuruskan oleh pemiliknya tidak kira dengan sebarang cara, dalam tempoh tidak kurang 7 tahun. Contoh seperti akaun semasa, akaun simpanan atau akaun tetap.
- Wang dalam bentuk kredit suatu akaun dagangan yang telah tidak diuruskan oleh pemilik menerusi sebarang urusniaga, dalam tempoh masa tidak kurang 2 tahun. Contoh seperti, akaun penghutang dagangan berbaki kredit dan akaun pemiutang dagangan.
Langkah-langkah Semakan Wang Tak Dituntut
Langkah 1 : Layari pautan portal https://egumis.anm.gov.my/
Langkah 2 : Buat pendaftaran pengguna secara atas talian. Pengguna akan terima emel menyatakan kata laluan sementara untuk log masuk ke portal.
Langkah 3 : Log masuk portal menggunakan kata laluan sementara yang diemel. Pengguna perlu menukar kata laluan baharu.
Langkah 4 : Kemaskini maklumat pengguna.
Langkah 5 : Klik pada “KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT” untuk membuat semakan WTD melalui nombor pengenalan diri atau nombor pendaftaran syarikat dan cetak maklumat Wang Tak Dituntut tersebut (jika ada)
Proses Tuntutan WTD
Jika ada terpapar jumlah Wang Tidak Dituntut, anda boleh membuat Permohonan untuk ia dimasukkan ke dalam akaun bank milik kita yang terkini.
Permohonan tuntutan WTD layak untuk pihak-pihak berikut:
- Empunya/pemilik WTD sendiri;
- Pentadbir harta pusaka (atau Wasi) yang telah dinamakan/didaftarkan dalam Surat Kuasa Mentadbir Harta Pusaka;
- pelikuidasi yang mewakili syarikat/firma yang sedang dalam proses penggulungan
- Individu atau syarikat/firma yang telah dinamakan/didaftarkan dalam Perintah Mahkamah; atau
- Jabatan Insolvensi Malaysia/Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk firma/syarikat yang telah bubar atau individu yang telah diisytihar bankrap
Setelah berjaya membuat tuntutan, wang anda bakal diproses dimana ia selalunya mengambil masa lebih kurang 1 bulan untuk dimasukkan/dikreditkan ke dalam akaun bank yang telah anda dinyatakan dalam borang tuntutan.