Kepentingan Protein: Kunci untuk Penuaan Sihat yang Ramai Tidak Tahu!

Pelajari bagaimana protein memainkan peranan penting dalam penuaan sihat yang ramai tidak tahu. Ketahui kepentingan protein dalam mengekalkan kesihatan dan kemudaan.

Kepentingan Protein

Kepentingan Protein: Kunci untuk Penuaan Sihat yang Ramai Tidak Tahu!

 

Protein adalah nutrien utama yang diperlukan oleh setiap individu setiap hari, terutama sekali apabila kita semakin berusia. Malaysia kini sedang beralih ke arah menjadi masyarakat yang semakin lanjut usia, maka usaha meningkatkan kesedaran mengenai penuaan sihat adalah sangat penting.

Menurut Pengerusi Lembaga Penasihat Perubatan & Saintifik, Keselamatan Pengguna Global dari Herbalife, David Heber, salah satu fungsi utama protein adalah untuk menghasilkan struktur badan yang penting seperti otot, organ, kulit, dan rambut. Selain itu, hormon, enzim, dan protein badan khusus lain yang dihasilkan oleh badan kita daripada protein dalam makanan juga penting untuk kemandirian hidup individu.

Pengerusi, Lembaga Penasihat Perubatan & Saintifik, Keselamatan Pengguna Global, Herbalife, David Heber

 

Heber berkata:

“Protein mampu membina atau mengekalkan jisim otot apabila digabungkan dengan aktiviti senaman rintangan. Tanpa protein yang secukupnya, badan kita tidak dapat membesar atau membaik pulih tisu otot yang rosak setiap hari. Malah, badan mungkin mula memecahkan tisu untuk membekalkan asid amino yang diperlukan bagi mengekalkan fungsi badan biasa.”

Apabila umur semakin meningkat, individu mungkin mula mengalami kehilangan jisim dan fungsi otot secara perlahan-lahan. Proses ini dikenali sebagai sarkopenia, yang biasanya bermula pada awal umur 40-an dan boleh menyebabkan pengurangan jisim otot sebanyak tiga hingga lapan peratus setiap dekad.

Mengikut kajian yang dijalankan pada 2022 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, sarkopenia adalah masalah utama dalam kalangan warga emas di Malaysia, dengan hampir satu pertiga daripada mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas mengalaminya.

Dalam Tinjauan Penuaan Sihat Asia Pasifik 2020 oleh Herbalife, responden Malaysia menyatakan bahawa makanan tambahan atau suplemen yang diambil untuk menyokong penuaan sihat termasuk multivitamin dan mineral (55 peratus) serta kalsium (44 peratus).

Kira-kira tiga dalam 10 responden mengambil protein sebagai sebahagian daripada pemakanan tambahan mereka. Penemuan ini menekankan keperluan untuk lebih ramai orang mengambil protein yang mencukupi seiring dengan peningkatan usia, terutama sekali apabila mencecah umur 40-an atau 50-an.

David Heber juga menekankan bahawa dengan sedikit pelarasan kepada diet dan gaya hidup, seperti mengamalkan aktiviti senaman rintangan yang mencukupi, individu boleh memulakan langkah untuk mencapai sintesis protein optimum (MPS).

Proses MPS ialah di mana badan menggunakan protein daripada makanan untuk menghasilkan protein otot, membantu individu menikmati kehidupan yang lebih sihat dan bahagia sambil meningkat usia.

Protein terdiri daripada unit yang lebih kecil yang dinamakan asid amino. Namun, tidak semua sumber protein adalah sama – dan tidak semua mengandungi semua komponen asid amino yang diperlukan untuk mengekalkan fungsi badan.

Oleh itu, pilihan sumber protein perlulah bijak. Protein lengkap sering ditemui dalam sumber haiwan dan produk soya, membolehkan kita menggantikan jumlah protein yang digunakan untuk fungsi badan.

 

INFO TAMBAHAN:

Panduan pengambilan protein secukupnya dalam diet harian:

  • Tingkatkan Pengambilan Protein, Bukannya Kalori

Untuk mendapatkan jumlah protein yang mencukupi setiap hari, pemilihan pemakanan adalah penting. Langkah pertama adalah mengurangkan pengambilan karbohidrat terproses dan gula, serta mencari makanan yang membekalkan protein paling tinggi dengan kalori paling rendah seperti telur, badam, dada ayam, ikan, yogurt Greek, dan keju kotej. Selain itu, protein berasaskan tumbuhan seperti tauhu dan tempe juga bermanfaat.

 

  • Dapatkan Dos Protein Harian Pada Awal Hari

Sarapan adalah sajian paling penting dalam sehari tetapi sering diabaikan untuk pengambilan protein. Pilihan sarapan yang baik termasuk minuman shake protein, tiga putih telur rebus, segelas susu, yogurt, atau menambah sedikit kacang untuk meningkatkan pengambilan protein pada waktu pagi.

 

  • Merangkumi Suplemen Protein Dalam Diet

Untuk mencapai sasaran pengambilan protein harian tanpa menambah kalori tambahan, individu boleh mengambil minuman shake protein sebagai suplemen. Ini memberikan protein yang diperlukan tanpa tambahan lemak dan kalori daripada makanan protein lain.

 

Sumber: Berita Harian

 

Baca Info Lain:

Leave a Comment