Ikuti panduan rasmi Jakim untuk solat jenazah. Langkah demi langkah, doa, dan tatacara yang betul untuk memastikan solat jenazah yang sempurna.
Baca Juga : Cara Solat Dhuha : Panduan lengkap JAKIM
Pengenalan
Kematian adalah suatu kepastian yang telah dijanjikan Allah SWT kepada setiap makhluk yang hidup. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya, seperti yang ditegaskan dalam Surah al-A’raf, ayat 34:
“Apabila sampai ajal maut seseorang maka manusia tidak berupaya menunda mahupun mempercepatkan, walau sesaat pun.”
Dalam menghadapi kematian, terdapat adab-adab tertentu yang diikuti oleh umat Islam sebagai penghormatan terakhir kepada si mati. Salah satu amalan yang penting ialah solat jenazah, yang dilakukan selepas jenazah dimandikan dan dikafankan.
Hukum dan Waktu Solat Jenazah
Solat jenazah adalah fardu kifayah, iaitu kewajipan kolektif yang jika ditunaikan oleh sebahagian umat Islam di kawasan tersebut, maka tertunailah kewajipan itu bagi yang lain. Solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa apabila berlaku kematian.
Rukun Solat Jenazah
Solat jenazah memiliki tujuh rukun yang perlu dipatuhi:
- Niat berserta takbiratulihram.
- Berdiri tegak (solat jenazah tidak ada rukuk dan sujud).
- Empat kali takbir termasuk takbiratulihram bersama niat.
- Membaca al-Fatihah selepas takbiratulihram.
- Selawat ke atas Rasulullah SAW selepas takbir kedua.
- Doa untuk jenazah selepas takbir ketiga.
- Memberi salam selepas takbir keempat.
Kedudukan Jenazah dalam Solat
Kedudukan jenazah berbeza antara lelaki dan perempuan:
- Jenazah Lelaki: Kepala jenazah diletakkan pada sebelah kiri imam dan imam berdiri di bahagian kepalanya.
- Jenazah Perempuan atau Khunsa: Kepala jenazah diletakkan pada sebelah kanan imam dan imam berdiri di bahagian punggungnya.
Cara Solat Jenazah
Niat untuk Jenazah Lelaki
“Aku bersolat ke atas jenazah lelaki ini empat takbir sebagai kerana Allah Taala.”
Niat untuk Jenazah Perempuan
“Aku bersolat ke atas jenazah wanita ini empat takbir sebagai imam/sebagai makmum kerana Allah Taala.”
- Niat dan Takbiratulihram: Angkat tangan dan niat berserta takbiratulihram.
- Kedudukan Tangan: Sama seperti dalam solat biasa.
- Baca Surah al-Fatihah.
- Takbir Kedua: Angkat tangan ke telinga, letakkan tangan kembali ke badan.
- Baca Selawat: Afdal membaca Selawat Ibrahimiyyah. “Ya Allah, berikanlah selawat atas Nabi dan atas Keluarganya, sebagaimana Engkau pernah memberi rahmat kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Dan limpahilah berkat atas Nabi Muhammad dan para keluarganya, sebagaimana Engkau pernah memberikan berkat kepada Nabi Ibrahim dan para keluarganya, di seluruh alam ini, sesungguhnya Engkau Yang Terpuji lagi Yang Maha Mulia”
- Takbir Ketiga: Angkat tangan ke telinga, letakkan tangan kembali ke badan.
- Baca Doa untuk Jenazah:Doa pendek untuk jenazah lelaki:
“Ya Allah ampunilah dia, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia dan ampunilah dosa dan kesalahannya..”
Doa pendek untuk jenazah perempuan:
“Ya Allah ampunilah dia, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia dan ampunilah dosa dan kesalahannya..”Doa yang afdhal untuk jenazah lelaki:
“Ya Allah, ampunkanlah jenazah ini, kasihanilah dia, sejahterakan dan selamatkan dia. Muliakanlah kedudukannya, lapangkan ruang kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan embun suci. Lupuskan dia daripada segala noda dosa, sebagaimana Engkau bersihkan baju putih daripada kotoran.Gantikan baginya tempat tinggal yang lebih baik dari tempat kediaman sebelum ini. Berikan kepadanya ahli keluarga yang lebih baik daripada ahli keluarganya, pasangan yang lebih baik daripada pasangannya yang ada. Hindarkanlah dia (Ya Allah) daripada seksa kubur dan seksa neraka.”
Doa yang afdhal untuk jenazah perempuan:
“Ya Allah, ampunkanlah jenazah ini, kasihanilah dia, sejahterakan dan selamatkan dia. Muliakanlah kedudukannya, lapangkan ruang kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan embun suci. Lupuskan dia daripada segala noda dosa, sebagaimana Engkau bersihkan baju putih daripada kotoran.Gantikan baginya tempat tinggal yang lebih baik dari tempat kediaman sebelum ini. Berikan kepadanya ahli keluarga yang lebih baik daripada ahli keluarganya, pasangan yang lebih baik daripada pasangannya yang ada. Hindarkanlah dia (Ya Allah) daripada seksa kubur dan seksa neraka.”
- Beri Salam Pertama.
- Baca Doa Solat Jenazah:
“Ya Allah, Engkaulah Tuhannya, Engkau yang menjadikannya, Engkau yang juga memberikannya petunjuk sehingga dia menganut agama Islam. Namun, Engkau juga yang mematikannya, Engkau lebih tahu hal ehwalnya, baik yang tersembunyi mahu pun yang terang. Ya Allah, kami hadir di sini dengan penuh rasa berharap untuk memohon baginya pertolongan-Mu. Oleh itu, ampunkanlah kami semua dan dirinya dengan ihsan dan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Selawat dan restu Allah untuk Rasul junjungan kami Nabi Muhammad, juga kepada seluruh keluarga dan sahabat Baginda, semoga sejahtera mereka semuanya. Segala puji hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam.”
Perkara Sunat dalam Solat Jenazah
Terdapat beberapa perkara sunat dalam mendirikan solat jenazah:
- Solat secara berjemaah.
- Mengangkat kedua-dua tangan untuk keempat-empat takbir.
- Meletakkan tangan di bawah dada selepas mengangkat takbir.
- Mengucapkan ‘amin’ selepas membaca surah al-Fatihah.
- Membaca ta’awwuz (tidak disunatkan membaca doa iftitah).
- Memperlahankan bacaan dalam solat.
- Berdiri dalam tiga saf atau lebih.
- Tahmid sebelum selawat ke atas Nabi SAW.
- Doa ke atas muslimin dan muslimat.
- Membaca doa selepas takbir keempat dan sebelum salam.
- Memberikan salam yang kedua.
Penutup
Meskipun solat jenazah adalah fardu kifayah, sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita harus belajar cara menunaikannya. Kedapatan solat ini sangat penting sebagai penghormatan terakhir kepada si mati, terutamanya jika yang meninggal dunia itu adalah ahli keluarga atau sahabat kita. Kita mesti mewajibkan diri untuk mempelajari solat ini dan pengurusan jenazah agar sentiasa bersedia dan mengingat kematian.
Dengan memahami dan menghayati panduan ini, kita akan dapat menunaikan solat jenazah dengan sempurna dan memberi penghormatan yang sewajarnya kepada saudara-saudara kita yang telah pergi selama-lamanya.
Untuk panduan lengkap lainnya mengenai solat jenazah dan pengurusan jenazah, anda boleh merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri.
Baca Juga : Cara Solat Jamak Taqdim dan Takhir