Cheah Liek Hou Sumbang Emas Pertama Untuk Malaysia di Paralimpik Paris 2024

Cheah Liek Hou sumbang emas pertama untuk Malaysia di Paralimpik Paris 2024, mencatat sejarah dalam sukan negara. Dapatkan berita terkini dan pencapaiannya di sini.

Cheah Liek Hou Sumbang Emas Pertama

Cheah Liek Hou Sumbang Emas Pertama Untuk Malaysia di Paralimpik Paris 2024

 

Seperti yang diramal, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou telah menyumbang pingat emas pertama untuk Malaysia pada Sukan Paralimpik Paris 2024 setelah muncul juara dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal). Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris sebentar tadi, juara dunia lapan kali tersebut tidak menghadapi banyak masalah apabila menang 21-13, 21-15 ke atas pemain Indonesia, Suryo Nugroho, dalam masa 42 minit.

Kemenangan ini juga menyaksikan Liek Hou merangkul pingat emas keduanya berturut-turut dalam temasya sukan terbesar dunia tersebut, sekali gus mempertahankan emas yang dimenanginya di Tokyo, Jepun, tiga tahun lalu. Sejak langkah pertama ke dalam gelanggang, pingat emas sebenarnya sudah boleh dianggap berada dalam genggaman pemain berusia 36 tahun ini lantaran dia pernah menewaskan Nugroho di peringkat Kumpulan A sebelum ini.

Bertanding sebagai pilihan utama kejohanan, Liek Hou menampilkan aksi yang sangat dominan dengan mengawal sepenuhnya permainan di set pertama dan meletakkan lawannya dalam tekanan sehingga melakukan banyak kesilapan mudah sebelum menang 21-13. Berbekalkan keyakinan yang diraih menerusi kemenangan set pertama, pemain kelahiran Kuala Lumpur ini terus mempamerkan aksi meyakinkan di set kedua dan mendahului permainan dengan kedudukan selesa 20-15.

Nugroho yang cuba bangkit dengan harapan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, bagaimanapun terpaksa menerima hakikat bahawa dia bukan tandingan Liek Hou apabila tewas 21-15. Sebagai rekod, di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Liek Hou bakal menikmati imbuhan RM1 juta selaku pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, sama seperti yang diterimanya ketika menjadi juara pada Paralimpik Tokyo sebelum ini.

Dalam aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung serentak, seorang lagi pemain negara, Muhammad Fareez Anuar terpaksa akur kepada kehebatan Dheva Anrimusthi, juga dari Indonesia, apabila tewas 21-17, 19-21, 12-21.

Tahniah diucapkan kepada para atlet negara yang telah berjuang habis-habisan untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi dan pemangkin untuk kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan.

 

Sumber: Kosmo

 

Baca Info Lain: 

Leave a Comment