Masih belum mengamalkan Ayat Kursi? Ketahui sebab utama mengapa ayat ini begitu penting dalam Islam, serta manfaat yang boleh anda capai dengan berbuat demikian.
Baca Juga : 10 Alat Perkakas Yang Wajib Anda Elak Untuk Jimat Bil Elektrik!
Pengenalan Ayat Kursi
Ayat Kursi adalah ayat ke-255 dalam Surah Al-Baqarah, yang dikenali sebagai Penghulu Segala Ayat Al-Quran. Ayat ini menerangkan keagungan Allah SWT, kekuasaanNya yang tidak terbatas, dan kebesaranNya sebagai pencipta alam semesta.
Sejak kecil, kita diajarkan untuk menghafal Ayat Kursi kerana manfaat dan keistimewaannya. Menurut Imam al-San’ani, Ayat Kursi istimewa kerana ia merangkumi nama-nama dan sifat-sifat Allah yang maha tinggi dan berkuasa.
Terjemahan Ayat Kursi dalam Bahasa Melayu
Firman Allah SWT:
اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ۖ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ
Maksudnya:
“Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal mentadbirkan sekalian makhlukNya. Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki. Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”
(Surah Al-Baqarah, Ayat 255)
Keistimewaan Membaca & Mengamalkannya
- Dijanjikan Syurga
- Sesiapa yang mengamalkan Ayat Kursi selepas setiap kali solat fardhu, Allah menjanjikannya syurga. Ini adalah berdasarkan hadis:
- “Barangsiapa yang membaca Ayat Kursi setiap kali selepas solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.”
(Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir, Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra) - Ayat Pelindung Diri Sebelum Tidur
- Menurut Abu Hurairah r.a dalam riwayat al-Bukhari, syaitan tidak akan mendekati mereka yang membaca Ayat Kursi sebelum tidur. Oleh itu, kita digalakkan membaca ayat ini sebelum tidur untuk melindungi diri daripada gangguan syaitan.
- Melindungi Rumah
- Membaca Ayat Kursi setiap kali masuk ke rumah akan menyebabkan syaitan keluar dari rumah tersebut. (Tafsir Ibn Kathir)
- Terpelihara Dari Bala Bencana & Gangguan Syaitan
- Dalam hadis-hadis Nabi, diterangkan bahawa Ayat Kursi adalah Penghulu ayat-ayat Al-Quran. Sesiapa yang mengamalkannya akan terpelihara dari bala bencana dan gangguan syaitan serta mendapat pahala yang besar. (Bukhari, Muslim dan lain-lain)
- Mendapat Pahala Yang Besar & Mengingati Keagungan Allah
- Menurut Sheikh Dr. Yusuf al-Qardhawi, Ayat Kursi mempunyai sepuluh bahagian ayat yang semuanya memuji Allah. Ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagiNya.
Dengan membaca Ayat Kursi, kita dapat mengingati dan menghayati keagungan serta kebesaran Allah yang tiada batasannya.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh merujuk kepada artikel di laman web Mufti Wilayah Persekutuan.
Baca Juga : Nak Glass Skin Macam Wanita Korea? Baca tips disini