JDT Pertahankan Gelaran Piala FA untuk Ke-4 Kali, Mendominasi Selangor dengan 6-1


JDT Pertahankan Gelaran Piala FA untuk Ke-4 Kali

JDT Pertahankan Gelaran Piala FA untuk Ke-4 Kali, Mendominasi Selangor dengan 6-1

Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) sekali lagi membuktikan kehebatan mereka dalam arena bola sepak tempatan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA untuk kali keempat, selepas menundukkan Selangor FC dengan keputusan 6-1 dalam perlawanan sengit di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, JDT mempamerkan dominasi penuh sejak awal permainan. Seawal minit kedua perlawanan, pasukan kendalian Hector Pablo Bidoglio hampir membuka jaringan namun tersasar.

Tidak lama selepas itu, gol pertama berjaya dijaringkan pada minit ke-26 oleh Juan Muniz Gallego, setelah serangan bertubi-tubi ke arah gawang Selangor.

Menjelang dua minit terakhir separuh masa pertama, JDT sekali lagi mencuri peluang dengan menjaringkan gol kedua menerusi Arif Aiman Mohd Hanapi. JDT mengakhiri separuh masa pertama dengan kedudukan 2-0.

Memasuki separuh masa kedua, Selangor FC berusaha keras untuk mengejar dan akhirnya berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-59 dengan gol oleh Alvin Mateus Fortes. Gol ini memberikan sedikit harapan kepada penyokong The Red Giants untuk mengejar dan mencari gol penyamaan.

Namun, pemain JDT, Bergson da Silva, segera memusnahkan harapan Selangor dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-62. Tidak cukup dengan itu, Juan Muniz sekali lagi menambah gol untuk JDT pada minit ke-68.

Dominasi JDT berterusan apabila Eberty Fernandes menjaringkan gol kelima pada minit ke-76, menjadikan kedudukan semakin parah untuk Selangor. Juan Muniz melengkapkan hatriknya dan menjaringkan gol keenam JDT pada minit ke-88, mengakhiri perlawanan dengan keputusan 6-1.

Di bawah naungan Tengku Mahkota Johor, JDT FC berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA untuk kali keempat berturut-turut. Untuk rekod, JDT pertama kali menjulang Piala FA pada tahun 2016 dengan menewaskan PKNS.

Mereka sekali lagi memenangi gelaran ini pada tahun 2022 setelah menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 3-1. Dalam edisi yang lepas, Southern Tigers menewaskan Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 2-0 untuk mengekalkan gelaran tersebut.

 

Sumber: Malaysiagazette

Baca Info Lain:

Cara Paling Mudah Dapat Bil Air Percuma Setiap Bulan – Mohon SADE disini segera!

RASMI : STR Fasa 3 Bermula Khamis Depan – Anda layak terima bantuan ini!

i-Suri KWSP 2024 – Kelebihan, Cara Memohon, & Semakan Mudah!

Leave a Comment