Perkhidmatan 24 Jam Rapid KL Pada 30 dan 31 Ogos Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67

Nikmati perjalanan dengan lebih mudah pada Hari Kebangsaan ke-67!

Rapid KL menawarkan perkhidmatan 24 jam pada 30 dan 31 Ogos. Jangan lepaskan peluang ini untuk perjalanan yang lancar dan menyenangkan.

 

Perkhidmatan 24 Jam Rapid KL Pada 30 dan 31 Ogos

Perkhidmatan 24 Jam Rapid KL Pada 30 dan 31 Ogos Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67

 

Rapid KL, jenama terkenal untuk perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang, hari ini mengumumkan bahawa semua perkhidmatan rel termasuk LRT, MRT dan Monorel, serta BRT Laluan Sunway dan laluan bas terpilih akan beroperasi selama 24 jam pada malam 30 Ogos 2024, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Malaysia.

Perkhidmatan yang dipertingkatkan ini dijalankan buat pertama kali sebagai inisiatif Prasarana dalam menyokong usaha kerajaan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan. Semua servis rel akan memulakan operasi dari jam 6.00 pagi pada 30 Ogos sehingga 11.30 malam pada 31 Ogos 2024.

Selain itu, Rapid KL akan menyediakan sehingga 60 bas perantara percuma dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya, bermula jam 6.00 petang pada 30 Ogos hingga 3.00 petang, 31 Ogos 2024. Ini adalah bagi memudahkan warga kota yang ingin meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bakal berlangsung di Putrajaya.

Sebagai tambahan, sebanyak sembilan (9) buah bas akan disediakan dari MRT Putrajaya Sentral ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Taman Botani, Marina Putrajaya, Alamanda, dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 31 Ogos 2024.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, “Pihak Prasarana amat berbangga kerana dapat menyediakan perkhidmatan ini buat rakyat Malaysia dan kami berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Lebih 4,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL akan bertugas secara syif bagi memastikan kelancaran operasi 24 jam dan memberikan pengalaman perjalanan yang baik sempena Merdeka 2024. Kami berharap semua rakyat Malaysia dapat hadir bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 sebagai tanda cinta kepada negara.”

Perkhidmatan 24 jam ini juga memberikan peluang kepada warga kota yang ingin hadir menyaksikan sambutan ambang Merdeka yang akan diadakan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.

Prasarana menjemput warga kota untuk menggunakan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Lebih 10,000 petak parkir tersedia di beberapa stesen rel terpilih.

Dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia, Prasarana akan memastikan kelancaran laluan bas khas ini tidak terganggu. Anggota Polis Bantuan Prasarana juga akan ditugaskan untuk membantu penganjur bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

Pengguna jalan raya di sekitar Putrajaya juga dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak menghalang laluan bas sepanjang sambutan berlangsung. Pengguna juga disarankan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go dan memastikan baki kad tersebut mencukupi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.myrapid.com.my atau ikuti laman sosial Rapid KL.

 

Sumber: myrapid

 

Baca Info Lain:

Leave a Comment