Ketahui tentang 5 universiti tertua di dunia dan sejarah mereka yang kaya. Pelajari bagaimana institusi-institusi ini memainkan peranan penting dalam perkembangan pendidikan global.
5 Universiti Tertua Di Dunia: Sejarah Dan Kepentingannya
Universiti atau pusat pengajian tinggi telah wujud di serata dunia sejak ratusan tahun lalu. Sehingga kini, terdapat kira-kira 10 buah universiti tertua di dunia yang dipercayai wujud sebelum kurun ke-13. Biarpun ada sebahagian daripada universiti tertua ini telah berpecah kepada kolej berbeza atau digabungkan ke dalam institusi lain, namun ia terus menyesuaikan diri dengan pendidikan moden untuk kekal relevan. Malah, kebanyakan universiti tertua ini merupakan institusi pendidikan yang berjaya mengekalkan prestij dan popular di dunia.
5 Universiti Tertua Di Dunia
1. Universiti Al Quaraouiyine, Fez, Maghribi
Universiti Al Quaraouiyine yang terletak di Fez, Maghribi, merupakan universiti tertua yang masih beroperasi sehingga kini. Ia ditubuhkan pada tahun 859 Masihi oleh Fatima al-Fihri, anak seorang saudagar kaya di Maghribi. Menurut catatan World Guinness Records, Universiti Al Quaraouiyine merupakan universiti pertama di dunia yang menawarkan pendidikan bertaraf ijazah. Pendidikan di universiti ini menumpukan kepada bidang sains agama dan undang-undang Islam.
2. Universiti Al Azhar, Kaherah, Mesir
Universiti Al Azhar yang terletak di Kaherah, Mesir, ditubuhkan pada tahun 970 Masihi. Ia juga dikenali sebagai universiti Islam Sunni yang paling berprestij di dunia. Misi utamanya adalah untuk menyebarkan ajaran Islam dan melatih pendakwah yang dilantik oleh kerajaan Mesir untuk menyampaikan dakwah. Universiti ini diasaskan sebagai pusat pembelajaran Islam, di mana para pelajarnya mempelajari al-Quran dan undang-undang Islam bersama dengan pemikiran logik, tatabahasa, dan retorik.
3. Universiti Bologna, Bologna, Itali
Universiti Bologna ditubuhkan pada tahun 1088 dan merupakan universiti awam tertua yang beroperasi secara berterusan di Barat. Ia merupakan antara institusi pertama di dunia yang menggunakan istilah ‘universiti’ yang merujuk kepada sebuah institusi pendidikan bagi pelajar ijazah. Pada kurun ke-12 dan ke-13, ia menjadi pusat pendidikan utama bagi pengajian undang-undang sivil dan berjaya menarik perhatian para pelajar dari seluruh Eropah.
4. Universiti Oxford, Oxfordshire, England
Universiti Oxford di England ditubuhkan pada tahun 1096 dan merupakan antara universiti paling terkenal di dunia. Ia juga merupakan universiti paling tua di Britain dan telah melahirkan graduan hebat dalam pelbagai bidang. Universiti Oxford merupakan universiti swasta yang terdiri daripada 38 kolej konstituen. Semua pelajar yang ingin menyertai Universiti Oxford mesti menjadi ahli salah satu kolej atau dewan. Universiti itu juga pertama kalinya merekodkan kemasukan pelajar perempuan pada tahun 1920. Ahli fizik terkenal dunia, Stephen Hawking, dan saintis hebat, Albert Einstein, merupakan antara alumni dari universiti ini.
5. Universiti Salamanca, Salamanca, Sepanyol
Universiti Salamanca, Sepanyol, ditubuhkan pada tahun 1134. Ia merupakan universiti awam yang menjadi pusat penting untuk pengajian kemanusiaan. Universiti Salamanca juga terkenal dengan pengajian bahasa dan kursus seperti undang-undang serta ekonomi. Sebilangan kolej telah diasaskan sebagai institusi kebajikan bagi membolehkan pelajar kurang berkemampuan belajar di situ. Namun, pada kurun ke-18, kolej tersebut telah menjadi syarikat tertutup yang dikawal oleh keluarga pengasasnya. Kolej-kolej tersebut kemudiannya dimusnahkan oleh tentera Napoleon, namun ada beberapa bangunan fakulti yang masih digunakan sehingga kini.
Dengan adanya lima universiti ini yang telah wujud berabad lamanya, kita dapat melihat bagaimana sejarah pendidikan tinggi telah berkembang dan menyesuaikan diri dengan zaman moden. Institusi-institusi ini bukan sahaja penting dari segi sejarah, tetapi juga terus memainkan peranan penting dalam pendidikan global hari ini.
Sumber: Kosmo