Teruja dengan kejayaan pasangan beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik hadiahkan pingat gangsa untuk Malaysia di Olimpik Paris 2024, membawa kegembiraan dan kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Baca untuk ketahui lebih lanjut tentang detik-detik mendebarkan kejayaan mereka!
Aaron-Wooi Yik Hadiahkan Pingat Gangsa Untuk Malaysia di Olimpik Paris 2024!
Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, berjaya mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Tokyo dengan merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik 2024. Kejayaan ini juga menghadiahkan pingat pertama untuk Malaysia pada edisi kali ini.
Kemenangan tersebut dilakar oleh gandingan negara selepas menewaskan beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, dengan keputusan 16-21, 22-20, 21-19 pada aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, semalam.
Keputusan ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik melebarkan rekod kemenangan mereka kepada lapan kemenangan ke atas gandingan Denmark itu dalam 12 pertemuan secara keseluruhan.
Pada set pertama, pasangan Denmark itu mendahului 11-8 dan walaupun pasangan negara cuba mengejar, mereka hanya berjaya hingga ke 16-18 sebelum Astrup-Rasmussen menoktahkan set pertama dengan keputusan 21-16 dalam tempoh 21 minit.
Set kedua berlangsung dengan lebih rancak di mana kedua-dua pasangan saling bertukar mata. Pasangan negara mendahului 11-9 menuju ke interval namun Astrup-Rasmussen berjaya menyamakan kedudukan kepada 13-13. Tekanan semakin dirasai apabila pasangan Denmark mendahului 18-15, namun Aaron-Wooi Yik memperagakan kebangkitan menakjubkan dengan memenangi set kedua 22-20.
Set ketiga berlangsung lebih sengit khususnya di penghujung permainan apabila pasangan negara membenarkan gandingan Denmark mengejar sehingga 19-19. Namun, Aaron-Wooi Yik kekal tenang dan akhirnya meraih kemenangan dengan 21-19, sekaligus merangkul pingat gangsa.
Sebelum ini, kedua-dua gandingan gagal melayakkan diri ke final selepas kecundang di tangan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir. Aaron-Wooi Yik kecundang di tangan gandingan nombor satu dunia, Liang Weikeng-Wang Chang, dengan keputusan 19-21, 21-15, 17-21, manakala Astrup-Rasmussen tewas kepada juara bertahan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin, dengan keputusan 21-18, 17-21, 10-21.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik juga memenangi pingat gangsa di Tokyo 2020 selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan, dengan keputusan 17-21, 21-17, 21-14.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sekali lagi mencipta sejarah dengan memberikan pingat pertama buat Malaysia di Olimpik Paris 2024.
Sumber: bharian