Hari ini kami nak kongsi resepi Soto Ayam yang menjadi kegemaran orang ramai tidak kira di mana sahaja.
Resepi Soto Ayam: Ini rahsia kuah pekat dan gerenti sedap!
Soto Ayam, sajian yang mendapat tempat istimewa di hati masyarakat Malaysia, adalah lebih dari sekadar hidangan; ia merupakan simbol perpaduan dan keanekaragaman budaya yang kaya di negara ini. Resepi yang telah disesuaikan menurut selera tempatan, mencerminkan pengaruh masakan Nusantara yang luas, serta menggabungkan bahan-bahan segar dan rempah ratus yang kaya dengan rasa.
Dengan kuahnya yang beraroma dan dihidangkan bersama pelbagai jenis pelengkap seperti sambal kicap, perahan limau, dan keropok, Soto Ayam menawarkan pengalaman rasa yang kompleks dan memuaskan. Setiap suapan tidak hanya menggembirakan rasa, tetapi juga membawa cerita dan tradisi yang telah diwarisi dari generasi ke generasi, menjadikannya lebih daripada sekadar makanan, tetapi juga warisan budaya Malaysia yang dihargai.
Resepi Soto Ayam
Kuah Soto
Bahan-bahan:
- Ayam (potong besar sebab nak carikkan nanti)
- 2 batang serai – ketuk
- Minyak untuk menumis
- 1/2 paket kecil serbuk sup
- 1/2 paket kecil serbuk kurma
- 1 kiub pati ayam
- Akar daun sup – potong dan cuci bersih
- 2 liter air
Bahan-bahan kisar:
- 1 inci lengkuas
- 1 inci halia
- 4 biji bawang merah besar (lagi banyak lebih sedap)
- 1 ulas bawang putih
- 1 biji buah keras
Cara memasak:
1. Tumis bahan kisar, serai dan akar daun sup sehingga betul-betul naik bau, masak dan sedikit garing. Ia bertujuan supaya bawang tidak berasa mentah dalam kuah nanti.
2. Masukkan serbuk sup dan serbuk kurma. Jika tiada, boleh letak rempah soto.
3. Masukkan ayam. Agak-agak air ayam sudah hampir kering, baru masukkan air.
4. Masukkan kiub pati ayam dan perasakan dengan gula serta garam dengan secukupnya.
5. Renehkan kuah sehingga ayam masak elok. Angkat ayam dan toskan. Ketepikan ayam untuk dicarikkan nanti.
6. Kuah soto siap!
Begedil Kentang
Bahan-bahan:
- 5-6 biji ubi kentang – buang kulit, potong kecil & rebus
- Hirisan daun sup
- Bawang goreng
- 1 biji telur
- Lada sulah secukupnya
- Garam secukup rasa
Cara memasak:
1. Ubi kentang dibuang kulit, potong kecil dan rebus hingga empuk.
2. Kemudian lenyekkan hingga halus. Masukkan hirisan daun sup dan bawang goreng. Sebatikan.
3. Cubit adunan Begedil dan bulat-bulatkan adunan. Leperkan sedikit.
4. Pecahkan telur dan masukkan lada sulah dan garam. Pukul kembang supaya bila digoreng nanti, begedil kelihatan bersarang.
5. Cara goreng begedil supaya tidak hancur, panaskan minyak agak-agak tenggelam separuh begedil sahaja. Jangan penuh.
6. Panaskan dengan api yang kecil sehingga betul-betul panas.
7. Celup begedil dalam bancuhan telur kemudian goreng.
8. Bila sudah garing dan kekuningan, barulah balikkan. Jangan balikkan terlalu awal kerana begedil akan pecah.
Sambal Kicap
Bahan-bahan:
- 1 ulas bawang putih – diketuk
- Segenggam cili padi
- Gula secukup rasa
- Sos cili secukupnya
- Kicap
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang putih hingga garing. Masukkan juga cili padi. Goreng bersama bawang putih tadi.
2. Angkat bahan gorengn tadi dan jangan dibuang minyaknya kerana minyak gorengan bawang putih akan membuatkan sambal jadi lebih sedap.
3. Tumbuk bahan gorengan tadi dan tambahkan gula, sos cili dan kicap dengan secukupnya. Masukkan juga 1 sudu makan minyak gorengan tadi. Gaul rata.
4. Sambal isi tidak perlu diisi garam kerana kicap itu sudah berasa masin.
5. Sambal Kicap sedia untuk dinikmati.
Tip Masakan:
Kalau tak nak guna serbuk sup & serbuk kurma, boleh guna rempah soto. Bahan lain kekalkan, cuba tukar serbuk sup & serbuk kurma kepada rempah soto sahaja.
Sumber: