Rempah Dan Herba Tamat Tarikh Luput: Buang atau Simpan? Ketahui Jawapannya!

Adakah rempah dan herba anda telah tamat tarikh luput? Pernah terfikir jika masih selamat digunakan?

Jangan buang dulu! Ketahui jawapan mengejutkan yang mungkin mengubah cara anda menyimpan rempah dan herba selama ini.

Rempah Dan Herba Tamat Tarikh Luput

 

Rempah Dan Herba Tamat Tarikh Luput: Buang atau Simpan? Ketahui Jawapannya!

 

Rempah dan herba  kering seperti bunga lawang, kayu manis, lada hitam, dan cengkih biasanya boleh disimpan untuk jangka masa yang panjang. Malah, mereka boleh bertahan lebih setahun dan tidak mudah rosak jika disimpan dengan baik dan tidak tercemar. Namun, jika disimpan terlalu lama, aroma rempah mungkin akan hilang dan rasa juga akan berkurangan.

Rempah ratus adalah bahan penting dalam masakan di seluruh dunia. Kehadirannya bukan sahaja menambah rasa sedap, tetapi juga memberikan aroma yang menyelerakan. Kajian mendapati bahawa makan makanan yang mengandungi rempah dan herba secara kerap boleh menyumbang kepada kesihatan yang baik.

Kadang-kadang rempah yang dibeli tidak habis digunakan dalam satu tempoh yang lama, terutamanya bagi yang jarang memasak di rumah. Jadi, apabila rempah ini tamat tempoh, bolehkah ia masih digunakan? Bagaimana kita tahu jika ia sudah rosak?

Rempah dan herba kering biasanya tidak mudah “rosak”. Apabila dikatakan rosak, ia bermakna aromanya semakin pudar dan warnanya menjadi berlapuk. Namun, rempah atau herba kering yang sudah tamat tempoh biasanya masih selamat dimakan, walaupun rasa dan aromanya tidak sekuat yang baru dan segar.

 

Jangka Hayat Rempah dan Herba

Rempah kering berserbuk seperti kunyit, halia, paprika, pelaga, jintan, dan kari boleh bertahan lebih lama jika kurang terdedah kepada cahaya, kelembapan, dan udara. Begitu juga dengan biji ketumbar, biji jintan, bunga cengkih, biji sawi, buah pala, kayu manis, bunga lawang, serta cili kering.

Herba kering seperti parsli, daun salam, thyme, rosemary, dan pudina didapati mempunyai tempoh simpan yang lebih pendek jika dibandingkan dengan rempah kering yang lain.

Untuk membeli herba ketumbar yang tahan lama, belilah yang ditimbang dan belum dipaket. Herba ketumbar yang segar selalunya berwarna kuning dan tidak berbau hapak. Elakkan membeli ketumbar yang sudah berubah warna kerana ia boleh menjejaskan rasa masakan.

 

Cara Menyimpan Rempah

Untuk memastikan rempah yang baru dibeli dapat bertahan lebih lama, elakkan daripada terdedah kepada udara, haba, kelembapan, dan cahaya. Simpan rempah di tempat yang kering, sejuk, dan gelap seperti di dalam laci atau kabinet dapur yang jauh dari ketuhar atau pancaran matahari.

Pastikan menyimpan rempah di dalam bekas kedap udara yang sesuai dan tidak poros. Bekas kaca atau seramik adalah pilihan terbaik kerana rempah boleh bertahan lebih lama dalam bekas jenis ini. Elakkan bekas plastik kerana ia tidak kedap udara dan boleh menyerap warna dan bau rempah, menjadikannya sukar dibersihkan untuk kegunaan semula.

Untuk rempah jenis serbuk, sebaiknya simpan di dalam bekas kedap udara dan letakkan di bahagian beku jika tidak digunakan. Walaupun ruang ini sejuk, ia kekal kering dan sesuai untuk simpan rempah yang sudah dikisar atau dalam bentuk serbuk.

 

Mengembalikan Aroma Wangi Rempah

Walaupun rempah kering yang lama disimpan sudah pudar baunya, ia masih boleh digunakan dalam masakan jika masih baik. Untuk mengembalikan bau wangi, sangailah rempah di atas api kecil.

Caranya adalah dengan menggunakan kuali tanpa minyak, sangai rempah selama dua hingga tiga minit sehingga bau wangi terhasil. Ini bukan sahaja mengekalkan aroma tetapi juga membuat rempah bertahan lebih lama.

Tidak kira apa jenis rempah yang disangai, penting untuk menggunakan sudu bersih dan kering ketika mengambil rempah. Kelembapan dari tangan atau sudu basah boleh membuatnya mudah rosak, kemungkinan berkulat, dan warnanya berubah.

Akhir sekali, jika bungkusan rempah sudah dibuka, pastikan menyimpannya di dalam bekas bersih dan letakkan dalam peti ais. Jika disimpan di luar, rempah selalunya tidak tahan lama dan cepat hilang aroma.

 

Kesimpulan

Walaupun rempah disimpan lama dan jarang digunakan, ia tetap baik selagi tidak berkulat dan warnanya tidak terlalu berbeza dari asal.

 

Sumber: berita.mediacorp.sg

 

Baca Info Lain:

Leave a Comment