Perkampungan Sukan SUKMA XXI Sarawak 2024 Diiktiraf Terbaik Sepanjang Zaman

Perkampungan Sukan SUKMA XXI Sarawak 2024 diiktiraf terbaik sepanjang zaman, menawarkan pengalaman unik dan kemudahan bertaraf dunia untuk semua atlet.

Perkampungan Sukan SUKMA XXI Sarawak 2024

Perkampungan Sukan SUKMA XXI Sarawak 2024 Diiktiraf Terbaik Sepanjang Zaman

 

Perkampungan Sukan SUKMA XXI Sarawak 2024 yang dibuka secara rasmi hari ini diiktiraf sebagai yang terbaik dalam sejarah penganjuran temasya sukan tersebut.

Atlet kriket Terengganu, Wan Mohamad Shahril, menyatakan bahawa kemudahan yang disediakan di Perkampungan Sukan SUKMA XXI Sarawak 2024 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) adalah sangat memuaskan serta bersih.

“Kami sebagai atlet amat berpuas hati dengan kemudahan perkampungan sukan di sini. Kebersihan merupakan satu aspek penting untuk kami berehat dengan selesa selepas bertanding. Kemudahan seperti dobi dan kafe juga sangat memudahkan kami,” ujar Wan Mohamad yang membuat penampilan terakhir dalam temasya kali ini untuk memburu pingat emas.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, menyifatkan perkampungan sukan di sini hampir setaraf dengan penganjuran di luar negara. “Tuan rumah Sarawak bukan sahaja menyediakan penginapan yang bersih dan teratur tetapi juga petugas-petugas yang sentiasa bersedia untuk membantu sebarang keperluan kontinjen. Penginapan yang bersih dan teratur memberi tambah nilai yang besar, khususnya dalam memberi motivasi tinggi kepada atlet untuk fokus sepenuhnya kepada pertandingan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Majlis perasmian Perkampungan Sukan SUKMA XXI Sarawak 2024 diadakan hari ini di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), UNIMAS di Kota Samarahan. Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, hadir merasmikan perkampungan sukan tersebut.

Dalam ucapan perasmiannya, Abdul Karim menyatakan bahawa sebanyak 33 perkampungan sukan dan penginapan disediakan bagi keperluan para atlet dan pegawai yang terlibat sepanjang temasya ini, yang melibatkan sembilan bahagian. Lima perkampungan sukan utama tersebut adalah di UNIMAS, Desa Sanyan di Sibu, UiTM Kampus Mukah, Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu, dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri.

“Seperti yang sedia maklum, SUKMA kali ini diadakan di sembilan bahagian yang melibatkan 37 jenis sukan dan 488 acara. Oleh itu, banyak perkampungan sukan disediakan. Yang utamanya ada lima dan yang kecil-kecil kesemuanya berjumlah 33,” tambah Abdul Karim. “Saya berharap semua atlet dan pegawai dapat menginap dengan selesa dan mereka yang diamanahkan untuk menguruskan perkampungan ini memastikan kemudahan yang disediakan dalam keadaan baik sepanjang masa,” katanya.

 

Sumber: utusanborneo

 

Baca Info Lain:

Leave a Comment